Anak-anak Cerewet Makan? Tips Untuk Pastikan Mereka Lebih Makan Sayur-Sayuran

Hello semua! Minggu ini kita sediakan artikel khas untuk ibu-bapa yang anak-anaknya sangatlah liat untuk makan sayur-sayuran. Maklumlah rasanya kalau tak pahit, tawar pulak. Kalau dibandingkan dengan french fries ataupun cokelat, memang sangat tak laku. Sebenarnya saya sendiri waktu kecil tak suka makan sayur-sayuran - paling-paling pun cuma yang mana daunnya sudah dimasak jadi lembut. Kalau disuruh makan sayuran yang lebih keras seperti brokoli atau lobak, jangan harap! Walaubagaimanapun, sayur-sayuran amat kaya dengan khasiat, dan penuh dengan vitamin, jadi memang afdal kalau kita cuba cara-cara kreatif supaya anak-anak kita boleh mendapatkan khasiat ini tanpa perlu dipaksa.

  1. Mulakan Pemakanan Sayur-sayuran Waktu Bayi Lagi

Bila si anak sudah besar dan boleh bercakap, bermakna dia boleh katakan "NO!" 😂 Manakala jika anda cuba mulakan pemakanan sayur-sayuran mereka dari waktu bayi lagi, mereka tidak mampu menolak dan lambat-laun akan terbiasa dengan rasanya. Jadi lebih senang kalau mulakan awal! Untuk bayi 6-8 bulan, anda boleh memberi makan sayur-sayuran seperti lobak (carrot), labu (pumpkin) dan kubis bunga (cauliflower) yang sudah dikukus lalu dikisar ataupun di-purée. Apabila kanak-kanak sudah berumur 9-12 bulan pula, boleh berikan sayur-sayuran yang telah dikukus tanpa dikisar.

  1. Hiasi Hidangan Sayuran Supaya Tampak Menarik

Kalau tak sempat memupuk tabiat makan sayuran dari waktu bayi dan si anak sudahpun pandai menolak hidangan sayuran anda, jangan bimbang! Masih ada jalan untuk selesaikan masalah ini. Kanak-kanak mudah tertarik jika makanan mereka mempunyai pelbagai warna-warna terang, dan dihidang dalam cara yang luarbiasa. Contohnya dengan menghidangkan sayuran berbentuk istimewa seperti bentuk bintang, bentuk hati dan sebagainya - hanya perlu beli acuan kuih berbentuk pilihan anda, lalu digunakan bersama lobak, timun, kapsikum dan juga buah-buahan. Jangan lupa pula untuk sajikan diatas pinggan atau mangkuk berwarna-warni untuk menarik perhatian mereka. Kalau si anak suka filem Frozen, cuba hidangkan sayuran menggunakan lunchbox cap Frozen atau pinggan cap Olaf, Elsa dan sebagainya.

  1. Sembunyikan Sayur-Sayuran Dalam Masakan Harian

Beberapa tahun yang lalu, kita dapat tahu satu akaun di Instagram bernama @myfussyeater. Mengikut si ibu di sebalik akaun ini, Ciara Atwell, setelah melahirkan anak pertamanya, dia berjuang untuk mencipta resipi-resipi mengandungi pelbagai sayuran tapi tetap sedap. Maka lahirlah akaunnya yang penuh dengan resipi sihat kaya khasiat untuk kanak-kanak cerewet makan.

Satu cara yang dinasihatkannya adalah kisar sayur-sayuran untuk dicampurkan kedalam resipi anda. Dalam satu resipi yang disarankannya, kita boleh kisar lobak merah, timun kecil, dan sebatang saderi (celery) untuk dimasak sekali bersama tomato apabila sedang membuat sos tomato atau sos Bolognese untuk spaghetti dan pasta lain. Licik, dan berkesan! Mereka pasti tak akan tahu yang mereka sedang makan sayur-sayuran!

Kita di Supabaza pun cadangkan anda cuba kisar kubis bunga dan campurkan kedalam resipi sos berkrim, seperti resipi Mac & Cheese di mana kubis bunga itu dimasak sekali dengan keju dan krim untuk menjadi sos macaroni. Kalau ingin masak cucur bawang, cucur udang atau cucur keju, pun boleh campurkan kubis bunga kedalam aduan sebelum digoreng.

Terakhir sekali dan yang paling senang, anda boleh cuba membuat smoothie untuk si anak dengan menggunakan buah-buahan pilihan (epal, oren, strawberry semua boleh!), yoghurt, kiub ais, dan juga sayuran lain seperti lobak merah, beetroot ataupun saderi (celery). Cuma perlu kisar semua bahan-bahan ini dalam blender, dah siap segelas smoothie yang tentu disukai si anak.

  1. Saling Memberi Galakan dan Ganjaran

Menurut konsep "positive reinforcement" ataupun pengukuhan positif, jika anda memberi galakan atau hadiah kecil setiap kali si anak membuat sesuatu yang baik, berkemungkinan besar bahawa anak anda akan melakukannya semula lagi untuk menerima lagi ganjaran yang sama. Jadi jangan lupa untuk memuji si anak jika dapat habiskan hidangan sayurannya, ataupun membawanya pergi bermain di playground sebagai ganjaran. Mudah, dan berkesan!

  1. Menjadi Contoh Buat Si Anak

Yang terakhir sekali tapi agak serious, ialah kita harus menjadi contoh buat si anak. Kalau kita ingin mereka suka makan sayur, maka kita pun harus tunjukkan kepada mereka yang kita sendiri suka makan sayur. Takkan lah nak paksa si anak makan sayur sementara kita sebagai ibu-bapa jarang buat, malah suka makan snek-snek di hadapan mereka - mana adil kan? Jadi walaupun kalau kita suka makan snek-snek yang kurang khasiat, apabila sedang melatih anak kita untuk lebih makan sayur-sayuran, cuba makan snek-snek apabila mereka sedang tidur ataupun tidak boleh nampak. Dengan cara ini, mereka tak akan merasakan yang sayur-sayuran adalah pilihan kurang baik untuk mereka.

Kesimpulan

Waktu anak-anak kecil sedang membesar, pemakanan mereka ditetapkan oleh ibu-bapa. Ini bermaksud kita tanggungjawab untuk memastikan bahawa mereka mendapat khasiat vitamin, mineral, dan serat (fibre) yang mencukupi untuk kesihatan mereka. Jadi cubalah tip-tip diatas supaya mereka dibiasakan makan sayur-sayuran. Kalau gagal, jangan putus asa, kita usaha sekali lagi. Tak semestinya mereka akan suka setiap hidangan sayuran yang kita berikan, tapi sekurang-kurangnya, kita gigih dalam misi ini. Itu yang penting. Selamat mencuba!


Older Post Newer Post


  • Ophelia Thornhill on

    Thanks for attending one of our past events!

    As a member, we will give you exclusive deals and offers from our partners which are not available to the public.

    We will be sending you a few special offers every single day for the next year.

    Our partner: https://www.maxprog.com

    Kind regards

    Allegra Events Limited
    106 Arlington Road
    Camden Town, London
    NW1 7HP
    United Kingdom
    Registered in England No. 6754003
    Tel: +44(0)20 7691 8800


Leave a comment