6 Tips Jimat Semasa Membeli Barang Dapur

Kos makan di luar memang selalunya lebih mahal daripada di rumah. Sebab itulah ramai yang lebih suka masak sendiri menggunai bahan-bahan pilihan mereka.

Tapi pernahkah anda kira berapa jumlah duit yang anda guna setiap kali beli barang dapur? Bila dah ditambah semua, boleh mencecah seribu ringgit setiap bulan atau mungkin lebih!

Nak tahu cara jimatkan wang semasa membeli barang dapur? Ikuti tips-tips yang kami sarankan khas untuk anda.

Tip 1: Tengok Dahulu Barang yang Masih Ada.

Punca pembaziran wang yang biasa ialah bila kita terlebih membeli bahan yang sudahpun ada di rumah. Tiba-tiba ada berpaket-paket makanan yang sudah lama dan harus dibuang.

Elakkan pembaziran dengan menyemak bahan-bahan yang ada di dapur sebelum ke pasar. Kemudian, catat dalam nota handphone.

Dengan cara ini, barang di rumah boleh digunakan sebelum tarikh luput, atau expiry. Kita pun tak jemu makan bahan yang sama setiap hari demi untuk habiskan sebelum terlalu lama.

Tip 2: Rancang Menu Mingguan.

Ok, tip ini memang perlu sedikit masa dan kesabaran, tapi ianya sangatlah berbaloi.

Fikirkan apa lauk-lauk yang anda ingin masak untuk minggu yang akan datang; selepas itu barulah anda senaraikan bahan-bahan yang harus dibeli. Contohnya, nak masak lauk ikan untuk 3 hari dan lauk ayam untuk 4 hari, perlukan bawang sekilo, dll.

Dengan cara ini, anda boleh beli bahan-bahan yang secukupnya untuk masak selama seminggu.

Kalau beli sahaja tanpa merancang, kemungkinan tinggi anda akan terlebih atau terkurang bahan. Jika terlebih, kadang-kadang susah nak gunakan bahan itu, sebab tak ingin masak lauk yang sama. Kalau terkurang pulak, apabila ke pasar untuk beli lagi, selalu ingin beli barang-barang yang tak perlu. Jadi lebih senang untuk keluar wang anda!

Tips 3: Utamakan Bahan Tempatan.

Kos penghantaran dan caj orang tengah membuatkan barangan import lebih mahal. Sebab itulah bahan tempatan biasanya lebih murah. 

Jadi tunggu apa lagi? Jom kita sokong dan pilih bahan tempatan. Kalau nak makan ikan salmon dan sayur asparagus boleh jugak, tapi tak usah lah sampai hari-hari ya.

Tips 4: Beli Sayur Tahan Lama.

Antara sayur yang tahan lama dan ‘versatile’ ialah kubis, kubis bunga, lobak merah, dan baby corn. Sayur-sayuran ini tak cepat layu dan boleh digunakan dalam banyak resipi seperti sup, tumis, tom yam dan sebagainya.

Memang anda tetap akan berjimat jika beli sayur berdaun seperti bayam, sawi, dan pak choy kerana harga murah. Akan tetapi, pastikanlah anda masak sayur berdaun dulu sebelum layu dan harus dibuang.

Tips 5: Simpan Bahan dengan Betul.

Ada sesetengah bahan yang tidak selalunya digunakan untuk masakan harian, seperti lengkuas dan daun limau purut. 

Walaubagaimanapun, kedua bahan ini boleh dibekukan untuk tahan berbulan-bulan. Jadi potong kecil-kecil lengkuas itu, masukkan dalam bag ziplock, dan simpan dalam freezer.

Selain itu, sayur seperti tauge boleh direndam dalam air sebelum disimpan dalam peti sejuk supaya lagi tahan lama.

Jadi ingatlah cara penyimpanan yang terbaik untuk sayuran dan barang dapur anda. Bila bahan-bahan kekal lagi lama, lagi boleh jimatkan duit anda.

Tips 6: Ambil Perhatian Promosi.

Peruncit biasanya meletakkan barangan promosi pada harga yang sangat murah untuk tarik pelanggan. Barang-barang promosi juga akan berubah dari masa ke semasa. 

Jadi anda harus peka dengan promosi kedai runcit atau pasar raya supaya dapat ambil kesempatan diskaun-diskaun yang ada. Kalau nak lagi jimat, rancanglah menu masakan anda mengikut promosi kedai.

Kalau barang ‘sale’ jenis tahan lama seperti sabun dan barang kering, bolehlah beli lebih sedikit – tapi awas ya, jangan beli terlalu banyak! Wang tunai anda lebih afdhal disimpan untuk keperluan lain, daripada digunakan untuk barang yang tak akan terpakai selama berbulan-bulan.

Penutup

Kita mudah berbelanja banyak untuk barang dapur kalau kita tidak merancang terlebih dahulu apa yang diperlukan, dan oleh itu banyak membazir.

Bagi anda yang ingin kurangkan belanja, bolehlah cuba tips yang kami sediakan. Kalau betul-betul disiplin, tak mustahil anda boleh jimat sekurang-kurangnya dua-tiga ratus ringgit setiap bulan.


Older Post Newer Post


Leave a comment