3 Petua Tradisional Untuk Rambut Sihat Dan Lebat

Rambut itu ibarat mahkota seorang wanita. Tapi bukan kaum wanita sahaja yang inginkan rambut yang berkilau dan lebat, malah kaum lelaki pun sama juga.

Stress, penggunaan alat-alat dan kimia untuk keritingkan atau luruskan rambut, serta kerap mengguna pewarna rambut adalah antara punca rambut kering, kusam dan semakin menipis.

Untuk post kali ini, kami mengesyorkan 3 petua tradisional melebatkan rambut dengan menggunakan bahan-bahan murah. Malah, berkemungkinan besar bahan-bahan ini sudahpun ada di dapur anda, jadi tak perlulah ke kedai untuk beli bahan mahal seperti minyak argan dan lain-lain. 

  1. Santan

Santan kelapa telah digunakan sejak berkurun lamanya dalam perubatan tradisional India dan Melayu.

Khasiat santan kelapa datang daripada kandungan berikut:

  • lauric acid,
  • protein,
  • Vitamin B complex, C, dan E.

Lauric acid ialah sejenis fatty acid yang mempunyai molekul yang kecil. Oleh itu, ianya mudah diserap dalam rambut dan baik untuk menguatkan cuticle yang melindungi akar rambut.

Protein pula menyokong pembinaan keratin - iaitu sejenis protein terdapat dalam rambut - supaya rambut tidak mudah putus. Rambut juga kekal lembut dan bersinar disebabkan kandungan vitamin dalam santan.

Hasilnya, rambut kuat, bersinar, dan kurang gugur. Selain itu, ramai yang berpendapat santan mampu menghilangkan masalah kelemumur kerana kekeringan kulit kepala dapat diatasi.

Cara menggunakan santan sebagai rawatan untuk rambut:

  • Gunakan santan segar atau kotak. Utamakan santan segar yang tiada bahan pengawet.
  • Sapukan santan pada kulit kepala dan rambut. Pastikan tiada helaian rambut yang tertinggal.
  • Urut kulit kepala agar santan boleh meresap masuk dalam kulit dan menggalakkan pengaliran darah.
  • Balut rambut dengan tuala, t-shirt lama, atau shower cap dan tunggu selama 15-20 minit sebelum mencuci rambut seperti biasa.
  1. Minyak Kelapa Dara

Sama seperti santan, minyak kelapa dara atau virgin coconut oil, juga mempunyai kandungan lauric acid, protein, dan vitamin yang tinggi.

Menariknya tentang minyak ini ialah keberkesanannya dalam mengurangkan kehilangan protein dalam rambut. 

Kajian menunjukkan minyak kelapa dara lebih berkesan daripada minyak bunga matahari dan minyak mineral dalam mengekalkan protein semula jadi rambut selepas rambut terdedah kepada pancaran matahari, alat styling rambut, bleaching, serta rawatan-rawatan menggunakan bahan kimia.

Ini bermakna dengan mengamalkan penggunaan minyak kelapa dara, rambut semakin kuat dan tak mudah putus sebab protein semula jadi dalam rambut banyak untuk menguatkan rambut. Bila batang rambut sihat, rambut pun tak mudah gugur selepas diikat atau disikat.

Cara terbaik menggunakan minyak kelapa dara ialah sebagai rawatan sebelum mandi (pre-wash treatment), supaya protein dan minyak semula jadi rambut tidak disingkirkan sepenuhnya apabila sedang syampu. 

Cara menggunakan minyak kelapa dara:

  • Sapukan minyak kelapa dara ke bahagian kulit kepala dan rambut dari akar hingga ke hujung-hujungnya
  • Urut kulit kepala selama 5 minit untuk meningkatkan penyerapan minyak
  • Cuci rambut seperti biasa dengan syampu dan conditioner

Selain itu, minyak kelapa dara juga boleh digunakan sebagai overnight hair mask, pengganti conditioner, dan sebagai minyak rambut biasa. Manfaat minyak kelapa dara menyebabkan rambut anda tampak lebih berkilau, semakin kuat, dan lebat.

  1. Air Beras

Pernah tak anda dengar orang tua-tua guna air beras untuk membilas rambut? Walaupun nampak simple, tapi rupanya kaedah ini sangat berkesan untuk mendapatkan rambut yang sihat.

Air beras mula digunakan sebagai bahan kecantikan rambut sejak zaman dinasti Heian di Jepun. Kaum wanita di istana semua rambut lebat, hitam bersinar dan panjang sehingga menjejak lantai. 

Bila dikaji, rupanya air beras mengandungi sejenis bahan bernama inositol yang memulihkan helaian rambut dari dalam ke luar. Inositol juga melindungi rambut dari kerosakan daripada haba dan bahan kimia.

Cara gunakan air beras untuk menyihatkan rambut:

  • Campur satu cawan air dengan satu cawan beras - boleh buat lebih asalkan anda amali nisbah 1:1 kerana yang berlebihan boleh disimpan dalam peti sejuk nanti
  • Kacau campuran ini sampai air nampak agak keruh
  • Tapis beras dan simpan airnya. Beras tu jangan dibuang, nanti waktu makan boleh masak jadi nasi.
  • Simpan air bilasan beras dalam bekas bertutup dan tunggu selama 12 jam. Hasil fermentasi air beras akan menghasilkan vitamin, sama macam Pitera dalam produk-produk SK-II
  • Lepas 12 jam, masukkan air ini dalam peti sejuk
  • Selepas syampu dan conditioner, bilas rambut dengan menggunakan air beras tadi. Fokus pada bahagian kulit kepala dan ratakan pada helaian rambut.

Penutup

Inilah dia 3 petua tradisional untuk melebatkan rambut. Semasa menggunakan apa-apa bahan pada rambut, jangan lupa untuk urut kulit kepala. Urutan dan menyikat rambut mampu meransang pertumbuhan anak rambut baru tau.

Selain itu, pastikan rambut sentiasa bersih. Syampu rambut 2-3 kali seminggu, dan tukar anak tudung setiap hari. Kalau tak tahan cuaca panas dan ingin syampu tiap-tiap hari, pastikan anda menggunakan syampu yang bebas dari sulphates supaya  tidak terlalu mengeringkan rambut anda.

Barulah rambut jadi lebat, lembut dan tak mudah gugur. Ok itu saja untuk post kali ini. Selamat mencuba dari kami di Supabaza!


Older Post Newer Post


Leave a comment