loading

Sering Mengalami Gastrik atau Perut Berangin? Inilah 5 Makanan yang Boleh Membantu Penghadaman Anda

Sistem penghadaman penting bagi mendapatkan nutrisi daripada makanan seharian.  Dengan khasiat ini kita boleh mendapat tenaga, vitamin, dan mineral untuk badan kuat dan sihat.

Malangnya ramai yang mengalami masalah seperti perut kembung atau gastrik. Siapa yang pernah mengalaminya mesti tahu, kalau terkena serangan gastrik yang teruk memang berpeluh-peluh sampai tak boleh bangun.

Kalau anda ingin kembalikan kesihatan penghadaman yang optimum, sudah tentu boleh terus makan ubat. Tapi kalau nak alternatif yang lebih semulajadi, apa kata cuba makanan-makanan di bawah ini?

Inilah 5 makanan untuk membantu penghadaman dan mengurangkan masalah gastrik serta perut berangin yang boleh anda cuba hari ini.

  1. Buah Betik

Betik ialah sejenis buah tropika yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Tapi tak ramai yang tahu betik mengandungi papain, iaitu sejenis enzim yang membantu penghadaman protein seperti ayam dan ikan. Sebab itulah ekstrak papain digunakan sebagai supplemen untuk penghadaman.

Dengan kandungan serat yang tinggi, betik juga membantu masalah sembelit dan mengurangkan angin dalam perut. Oleh itu, buah betik sangat sesuai untuk mereka yang sukar buang air besar dan kerap mengalami perut kembung.

  1. Yogurt

Sejenis produk tenusu dengan rasa tangy atau masam yang unik, yogurt dan minuman yogurt semakin menarik perhatian golongan muda. Kalau anda nak tingkatkan kesihatan usus, inilah makanan yang mudah diambil dan berkesan.

Sebab apa? Yogurt ialah sejenis makanan yang ditapai, jadi ia mengandungi kandungan bakteria baik atau probiotik yang tinggi.

Bila anda makan bakteria baik, anda menambah jumlah bakteria baik dalam usus. Maka bakteria jahat yang banyak menghasilkan angin akan tertewas. Perut pula kurang rasa terlalu kembung.

Cara mudah untuk menikmati yogurt ialah pada waktu sarapan. Campurkan yogurt perisa kegemaran anda dengan granola atau buah-buahan segar seperti strawberry, kiwi dan blueberry. Dah pun siap sarapan yang ringkas, sedap, dan sihat.

  1. Tempeh

Tempeh juga merupakan makanan yang kayak dengan probiotik. Dalam penghasilan tempeh, phytic acid dalam kacang soya dipecahkan. Ini merupakan proses yang penting sebab phytic acid mengganggu penyerapan zat daripada makanan.

Banyak kebaikan tempeh ni, seperti mengelakkan cirit-birit dan mengurangkan perut kembung. Jadi jangan lupa untuk tambah tempeh ke dalam masak lemak sayur, atau goreng tempeh dengan kunyit dan garam untuk dijadikan snek yang kaya dengan protein.

  1. Halia

Halia juga satu bahan yang biasa digunakan untuk melegakan masalah penghadaman. Bagi wanita yang sedang hamil, halia mampu mengurangkan rasa loya atau mual.

Satu ciri penting halia ialah kebolehannya untuk menggerakkan makanan dengan cepat dalam saluran makanan. Sebab itulah bila anda makan halia, anda mudah mengeluarkan angin dengan sendawa atau kentut. Ia juga mempunyai ciri-ciri anti-bakteria dan anti-keradangan, sekaligus memperbaiki sistem penghadaman anda. 

Anda boleh tambah halia dalam sup, atau sediakan hidangan seperti ayam masak halia untuk digandingkan dengan nasi. Selain daripada in, anda juga boleh bubuhkan potongan kecil halia kedalam teh panas untuk minuman pagi anda.

  1. Sup tulang

Sup tulang terhasil daripada renehan tulang ayam atau daging dalam masa yang lama. Proses masakan ini mengeluarkan khasiat seperti glutamine dan glycine daripada sendi tulang.

Kedua-dua zat ini melancarkan pergerakan makanan dalam usus. Bila makanan bergerak pantas, kurang angin yang dapat dihasil oleh bakteria jahat. Jadi tanda-tanda kembung perut dapat diatasi.

Hidangan ini juga sesuai untuk melegakan serangan gastrik, sebab ianya tidak pedas, kaya dengan khasiat, dan lembut buat lapisan perut.

Kalau anda ingin menghasilkan sup tulang dengan cepat dan lazat, campurkan sahaja tulang pilihan anda dengan bahan seperti halia, lada hitam, sup bunjut, dan bawang ke dalam pressure cooker. Hidangan ini enak dimakan terutamanya pada waktu hujan.

Penutup

Sistem penghadaman yang sihat amat penting bagi penyerapan zat daripada makanan. Jika sistem penghadaman terjejas, memang lebih senang merasa letih dan perut manjadj kurang selesa. Oleh itu kita sewajarnya memilih makanan yang menguatkan kesihatan usus, dan juga makanan yang mendatangkan proses penghadaman lebih cekap.

Kami di SupaBaza sangat mengutamakan pemilihan bahan-bahan segar untuk dijadikan hidangan yang berkhasiat. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat.

Baiklah, itu sahaja untuk post minggu ini. Sebelum masalah angin dan gastrik anda berlarutan, jom amalkan lima makanan ini bagi menyokong penghadaman yang sihat.


Siaran Lama Siaran baharu


Tinggalkan komen