loading

Resipi Mudah Untuk Biskut Laktasi Yang Lembut Dan Chewy

Kalau anda antara ibu-ibu yang payah cukupkan susu badan untuk bayi, apa kata hujung minggu ni kita cuba buat biskut laktasi ataupun lactation cookies di rumah?

Biskut laktasi ialah sejenis biskut penggalak susu badan yang merupakan satu cara untuk menambah bekalan susu badan anda secara semula jadi. Apabila bekalan susu badan ibu-ibu baru berkurangan, ianya boleh menimbulkan rasa kecewa atau sedih. Tapi jangan risau, kita masih boleh cuba makan lebih biskut laktasi untuk memperbaiki masalah ini.

Kunci keberkesanan lactation cookies terletak pada ramuan biskut ini. Rolled oats dan biji rami iaitu flax seeds yang digunakan mempunyai khasiat seperti zat besi dan phytoestrogen untuk merangsang penghasilan susu ibu.

Wanita yang menyusukan bayi juga kerap rasa lapar, terutamanya pada tengah malam. Dengan adanya cookies ni di rumah, si Mummy ada snek yang boleh dimakan sepanjang hari.

Tanpa berlengah lagi, inilah dia resepi oatmeal and chunky chocolate chips lactation cookies yang sedap dan mudah disediakan. Bukan ibu saja yang suka, tapi seisi keluarga boleh menikmatinya.

Biskut Laktasi Oatmeal & Chunky Chocolate Chips

Kalau anda gemar cookies yang lembut dan chewy ala-ala Subway, anda mesti cuba resepi ini. Biskut ini menggunakan gula perang dan mentega untuk mendapatkan hasil yang lembut dan enak.

Bahan-bahan:

  1. 1 ½ cawan atau 188 gram tepung serbaguna atau tepung gandum.
  2. 1 sudu teh baking soda.
  3. 1 sudu teh garam halus.
  4. 1 cawan atau 230 gram mentega suhu bilik.
  5. 1 cawan atau 200 gram gula perang.
  6. ½ cawan atau 100 gram gula pasir.
  7. 2 biji telur gred A.
  8. 2 sudu teh esen vanila.
  9. 3 cawan atau 200gram rolled oats.
  10. 2 sudu teh biji rami atau flax seed yang sudah dikisar.
  11. 1 ¾ cawan Cadbury chocolate bar yang dipotong kasar. Boleh digantikan dengan chocolate chips biasa.

Cara-caranya ialah:

  1. Campurkan dan gaul tepung, baking soda, dan garam dalam mangkuk bersaiz sederhana. Ketepikan adunan kering.
  2. Dalam mangkuk berasingan, pukul mentega menggunakan hand mixer atau stand mixer pada kelajuan sederhana atau tinggi, lebih kurang 1 minit atau sehingga mentega halus.
  3. Masukkan gula perang dan gula putih ke dalam mentega yang dipukul tadi. Pukul adunan ini pada kelajuan sederhana-tinggi sehingga sebati, selama lebih kurang 2 minit.
  4. Masukkan telur dan esen vanila ke dalam adunan mentega dan gula. Pukul pada kelajuan tinggi selama satu minit. Jangan lupa kacau dasar mangkuk supaya semua bahan digaulkan dengan baik.
  5. Campurkan bahan kering dalam langkah 1 dengan bahan basah. Pukul adunan pada kelajuan rendah. 
  6. Kemudian masukkan oats, biji rami (flax seeds), dan chocolate chips dan pukul pada kelajuan rendah.
  7. Bila adunan cookies kita dah sebati, tutup mangkuk adunan dengan cling wrap dan sejukkan dalam peti ais sekurang-kurangnya 45 minit sebelum dibakar. Tapi jangan lebih 4 hari ye mummies. Nanti bila nak masuk oven, biar dulu doh kita selama 30 minit pada suhu bilik supaya tak terlalu keras dan senang nak dibentukkan.
  8. Sekarang, panaskan dahulu ketuhar anda pada suhu 177°C atau 350°F. Lapik baking tray dengan baking paper.
  9. Dengan menggunakan scoop doh biskut, ambil lebih kurang 3 sudu makan adunan dan letakkan atas baking tray kita tadi. Jarakkan cookies lebih kurang 4 inci dalam baking tray.
  10. Bakar cookies ini selama 13-14 minit atau sehingga cookies anda nampak keperangan.
  11. Bila dah siap dibakar, keluarkan biskut dari ketuhar. Biarkan soft cookies ini sejuk sedikit sebelum anda alihkan daripada baking tray.

Dah siap! Mesti satu rumah bau sedap dan sangat menyelerakan sebab biskut ini yang siap rangup diluar dan lembut di tengah.

Lactation cookies yang terlajak lazat ini paling sedap kalau dimakan dalam tempoh seminggu jika disimpan dalam bekas tertutup pada suhu bilik.

Tapi kalau anda nak buat banyak cookies sekali gus, boleh juga bekukan cookies yang sudah dibakar dalam peti ais atau freezer. Cookies yang dibeku fresh selepas bakar akan tahan selama 3 bulan.

Kalau nak bakar sikit-sikit pula, bekukan adunan yang siap dibentuk. Nanti masa nak bakar tak perlu tunggu defrost dulu. Terus masuk dalam ketuhar dan bakar selama 14-15 minit.

Bagi kaum ibu yang ingin membuat cookies ini, kami dari SupaBaza mengucapkan selamat mencuba! Semoga anda beroleh manfaat daripada biskut laktasi yang enak ni dan susu badan pula semakin bertambah.

Siaran Lama Siaran baharu


Tinggalkan komen