Kelebihan Buah Avokado

Hello kawan-kawan! Macam tak boleh percaya kan yang tahun 2021 sudahpun di pengakhiran? Walaupun tahun 2021 memang penuh cabaran, kita harap semoga dikurniakan lebih barakah, murah rezeki dah sihat sentiasa pada tahun 2022! 

Cakap pasal kesihatan, minggu ini topik pilihan kami ialah tentang buah avokado dan kelebihannya. Siapa di antara kita yang pernah terbaca mengenai populariti roti bakar avokado, ataupun avocado toast di kalangan pemuda-pemudi di Amerika Syarikat? Ataupun pernahkah anda mencuba minuman Es Alpukat dari restoran-restoran Indonesia? Ini memang favourite saya, setiap kali makan di warung-warung penyet, mesti order satu gelas es alpukat!

Tahukah anda bahawa buah avokado ini sangat baik untuk kesihatan? Jom kita baca dengan lebih mendalam tentang khasiatnya.

  1. Mencegah Penyakit Darah Tinggi dan Penyakit Jantung

Pertama sekali, buah avokado sangat kaya dengan potasium iaitu sejenis mineral yang membantu serapan nutrisi kedalam sel, sambil mengeluarkan bahan kotoran. Potasium juga akan membuat badan kita lebih senang untuk membuang sodium melalui air kencing. Apabila kandungan sodium di dalam badan semakin rendah, maka tekanan darah akan semakin turun.

Buah avokado juga kaya dengan lemak monotaktepu, ataupun monounsaturated fat. Kajian menunjukkan bahawa lemak monotaktepu ini dapat mencegah penyakit otot jantung dengan mengurangkan tahap kolesterol LDL, yang dikenali sebagai kolesterol jahat. Apabila tahap kolesterol LDL kita tinggi, ia akan melekat kepada dinding arteri dan menyempitkan saluran darah. Oleh itu, kalau kita lazim makan avokado, dapatlah turunkan tahap kolesterol jahat dalam badan.

  1. Menjaminkan  Kesihatan Sistem Usus

Sebiji buah avokado mengandungi antara 10-13gm serat, berbandingkan dengan sebiji buah epal saiz medium yang hanya mengandungi 4.5gm serat. Pemakanan yang tinggi dengan serat dapat menjaminkan kesihatan sistem usus dan juga mengurangkan risiko penyakit kencing manis dan penyakit jantung. Kalau nak tahu, kita digalakkan mengambil sebanyak 25gm serat untuk kaum wanita, dan 30gm serat untuk kaum lelaki setiap hari. Jadi kalau anda makan setengah buah avokado – tak kisahlah kalau di makan begitu sahaja, ataupun dengan roti bakar ataupun dikisar menjadi smoothie – sudahpun tercapai 15-20% kandungan serat yang dituju.

  1. Mencegah Katarak dan Menjaminkan Kesihatan Mata

Buah avokado kaya dengan Vitamin E, iaitu sejenis antioksida yang dapat melindungi sel-sel dalam badan, termasuk sel mata, daripada radikal bebas. Radikal bebas adalah sejenis molekul kurang stabil yang akan merosakkan sel-sel dalam badan. Avokado juga mempunyai karotena seperti lutein dan zeaxanthin, yang boleh mengurangkan dan juga mengelakkan kerosakan bahagian makular di mata yang boleh menjejas mereka yang sudah berumur. Jadi jika anda kerap makan avokado, mata anda akan lebih sihat dan risiki penyakit mata akan semakin kurang.

Kesimpulan

Ternyata buah avokado ini sangat baik untuk menjaminkan kesihatan keseluruhan dan mencegah pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, penyakit jantung, kencing manis, katarak dan lain lain lagi. Ia sangat versatil dan boleh digunakan dalam pelbagai resipi mengikut selera anda. Malah, ia juga boleh digunakan untuk menjadi masker muka untuk mendapatkan kulit lembap!

Sebagai penutup, kita nak kongsi sikit satu resipi makanan dan juga satu resipi masker untuk komuniti Supabaza kita! Yok kita tengok jap:

Resipi Senang Roti Bakar Avokado (Avocado Toast)

Bahan:

  • 1 biji avokado masak
  • 1 sudu besar jus buah lemon
  • Chilli flakes
  • Lada hitam kasar
  • 2 cubit garam
  • 2 keping roti bakar

Cara Membuat:

  1. Di dalam mangkuk kecil, gunakan garpu untuk hancurkan isi avokado secara kasar
  2. Campurkan jus buah lemon dan 2 cubit garam ke avokado dan gaul rata
  3. Sapukan avokado ke atas roti bakar (seperti mentega!)
  4. Taburkan chilli flakes dan lada hitam secukup rasa
  5. (optional) Tambah telur mata atau telur setengah masak di atas avokado kalau ingin lebih kenyang!

Resipi Masker Muka Avokado

Bahan:

  • ½ biji avokado masak
  • 1 sudu besar bijirin oat (rolled oats)
  • 1 sudu kecil jus buah lemon
  • 1 sudu besar madu
  • 1 sudu kecil minyak kelapa
  • 2-3 titik essential oil kegemaran seperti lavender (optional)

Cara Membuat:

  1. Di dalam mangkuk kecil, gunakan garpu untuk hancurkan isi avokado sehingga halus
  2. Kisar bijirin oats dalam blender secara kasar, dan campurkan ke dalam mangkuk avokado
  3. Masukkan jus lemon, madu dan minyak kelapa ke dalam mangkuk dan gaul sehingga sebati
  4. Sapukan ke muka dan biarkan selama 15-20 minit
  5. Cuci muka dengan air suam, tadah!

Siaran Lama


Tinggalkan komen