Sebagai penduduk negara Asia, saya sekeluarga memang kerap menggunakan monosodium glutamate (MSG) sebagai penambah perasa untuk memberi lebih “oomph” kepada masakan dan hidangan seharian. Saya pasti ramai juga keluarga-keluarga Malaysia yang mesti simpan MSG bersebelahan dengan garam di dapur. Malah, mesti ada ramai yang lebih mengenali MSG sebagai “Ajinomoto”, iaitu nama syarikat jepun yang mula menjual MSG dalam bentuk kristal-kristal kecil mirip garam, buat pertama kalinya pada tahun 1909. Siapa yang tak kenal warna merah-putih setiap paket msg terbitan Ajinomoto?
Akan tetapi, MSG mempunyai imej agak negatif. Menurut sebuah tinjauan oleh International Food Information Council, sebanyak 42% di antara peserta tinjauan tersebut mengaku sedang cuba untuk kurangkan ataupun elakkan sama sekali MSG dalam pemakanan. Beberapa “mitos” mengenai MSG juga termasuk laporan bahawa MSG menyebabkan pening kepala, rasa dahaga, keguguran rambut, dan yang paling menyeramkan - bahawa MSG boleh mengakibatkan penyakit barah atau kanser. Sebelum kita meneliti ketepatan dakwaan-dakwaan ini, jom kita semak sekejap sejarah pendek tentang MSG.
Monosodium Glutamat dan Latar Belakangnya
MSG, atau monosodium glutamat, ialah sebuah kombinasi antara natrium, asid glutamik dan air. Asid glutamik ialah sejenis asid amino yang memberikan rasa umami. Ha, kalau nak tahu, rasa umami merupakan satu daripada lima rasa asas selain manis, masin, masam, dan pahit.
Bahan-bahan seperti sos soya, belacan (paling favourite saya!) dan juga keju parmesan, mengandungi MSG semulajadi, dan oleh itu cukup kaya dengan rasa umami. Kristal-kristal MSG yang kita kenali sebagai Ajinomoto, yang diperbuat melalui proses fermentasi atau penapaian bahan seperti tebu, ubi kayu, dan jagung, turut menambahkan rasa umami dalam masakan.
Walaupun makanan umami telah lama wujud, Umami hanya dikenali sebagai rasa asas kelima diantara tahun 1985-1990. Selanjutnya, rasa umami ini lebih diterima apabila pakar sains bio-kimia mengesahkan pada tahun 2006-2009 bahawa lidah kita mempunyai reseptor khas untuk menikmati rasa umami. Reseptor umami ini asing daripada reseptor-reseptor lain untuk rasa manis, masin, masam dan pahit.
Dakwaan Akibat Negatif MSG
Di America Syarikat, dakwaan bahawa MSG mengakibatkan “Sindrom Restoran Cina” atau Chinese Restaurant Syndrome, mula timbul pada tahun 1960an. Kesan sindrom ini termasuk rasa pening kepala serta migrain, rasa kebas di leher, lengan dan belakang, dan juga debaran jantung. Gelaran ini muncul setelah seorang doktor di Amerika Syarikat bernama Robert Ho Man Kwok melaporkan bahawa beliau jatuh sakit selepas menjamu hidangan Cina.
Setelah itu, ada juga beberapa kajian yang diterbitkan untuk menyokong dakwaan yang MSG itu menjejaskan kesihatan. Malah untuk beberapa dekad yang lalu, sesetengah restoran dan syarikat makanan akan mengiklankan bahawa hidangan dan produk mereka kurang guna MSG, atau bebas dari MSG sama sekali. Ini dipercayai menjadi daya tarikan untuk pelanggan yang ingin menjaga kesihatan.
Kebenaran Tentang MSG
Sebenarnya, kajian-kajian tersebut kini didapati kurang teliti dari segi akademik, lalu dianggap tidak tepat. Malah, mereka juga didapati berunsur “racist” terhadap kaum Asia yang kerap menggunakkan MSG dalam masakan mereka. Pendek kata, dakwaan akibat negatif MSG itu merupakan tohmahan dan tuduhan tidak berasas.
Kini, beberapa pihak keselamatan seperti Food and Drug Administration (FDA) di Amerika Syarikat dan juga European Food Safety Association (EFSA) di Eropah telahpun mengumumkan bahawa MSG itu selamat untuk dimakan jika digunakan secara sederhana. Lebih-lebih lagi, kandungan sodium dalam MSG sebanyak 66% kurang dari garam biasa. Ini bermakna anda boleh meningkatkan perisa lauk-lauk anda dengan menggunakan ajinomoto untuk mengganti sebahagian garam dalam resipi, dan sekaligus kurangkan jumlah sodium.
Kesimpulan
MSG atau Ajinomoto dapat meningkatkan penghayatan masakan melalui rasa umami yang diakibatkan penggunaannya. Jadi ianya tidak perlu di elakkan kerana sudahpun diumumkan selamat. Laporan-laporan lalu yang mengkaitkan pemakanan MSG dengan pelbagai penyakit dan kesan buruk tidak berbukti, malah didapati berunsur racist terhadap kaum Asia. Jumlah sodium MSG juga sebanyak 66% kurang dari jumlah sodium dalam garam biasa.
Oleh itu, MSG atau Ajinomoto boleh ditambah kedalam lauk supaya rasa lebik syiok, tanpa rasa khuatir. Namun, seperti biasa, jangan lupa untuk guna secara sederhana, seperti mana anda menggunakan garam dan gula dalam masakan ya!