loading

5 Makanan Yang Perlu Dielakkan Jika Anda Menghidap Darah Tinggi

Darah tinggi ialah penyakit yang sangat biasa dialami rakyat Malaysia. Menurut satu tinjauan pada tahun 2015, 35% rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas menghidap penyakit ini.

Malangnya, ramai yang tak sedar apabila tekanan darah mereka melebihi tahap normal. Manakan tidak, tekanan darah, walaupun sangat tinggi, tak dapat dirasai. Tiba-tiba dah kena makan ubat.

Ingin tahu tips pemakanan untuk turunkan darah tinggi? Jom baca artikel ini sampai habis.

Tips Turunkan Tekanan Darah.

Aspek paling penting untuk turunkan tekanan darah ialah mengamalkan gaya hidup sihat. Kalau kita kurangkan menghisap rokok, rajin bersenam, dan lebih beristirehat setiap hari, tekanan darah pasti akan turun.

Selain itu, pesakit darah tinggi harus amalkan diet yang seimbang. Kurangkan makanan dengan kandungan garam, lemak, dan gula yang tinggi.

Dengan menjaga pemakanan, tekanan darah akan berkurang dan penyakit lain seperti kolestrol tinggi dan kencing manis turut dapat dihindari.

Kesan Pengambilan Garam Berlebihan.

Bila kandungan garam darah tinggi, badan secara semula jadi akan menyimpan lebih banyak air. Kandungan air yang banyak dalam salur darah pula membuatkan tekanan darah semakin tinggi.

Sebab itulah kajian menunjukkan orang yang kurangkan sodium dalam makanan berjaya menurunkan tekanan darah.

Rata-rata rakyat Malaysia mengambil 9-10 gram garam setiap hari. Bagi pesakit darah tinggi, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyarankan 5 gram-kebawah sahaja, bersamaan 1 sudu teh garam setiap hari.

Makanan Ber-sodium Tinggi yang Perlu Dielakkan Pesakit Darah Tinggi.

Sekarang, anda dah tahu berapa target garam harian. Langkah seterusnya ialah mengelakkan makanan yang terlalu banyak garam supaya anda kekal dalam limit 5 gram sehari.

Berikut ialah senarai makanan yang tinggi kandungan garam. Makanan ini perlu dielakkan bagi mereka yang ingin mengamalkan diet rendah sodium.

  1. Makanan Segera.

Walaupun sangat sedap dan pantas, makanan segera atau fast food terkenal dengan kandungan nutrisi yang rendah dan sodium berlebihan.

Contohnya, satu hidangan sandwich ayam ada 5 gram garam. Tapi takkan makan sandwich atau burger saja -  mesti kita makan sekali dengan French fries, kan? Makin tinggilah jumlah garam yang diambil bila makan fast food.

  1. Sup Cendawan Berkrim dalam Tin.

Sup cendawan ialah makanan yang mudah dan cepat disediakan. Hanya tambah air dan panaskan dalam microwave.

Malangnya, makanan instant ini mengandungi lebih 4 gram garam. Jadi, elakkan makan sup cendawan dalam tin. Kalau betul-betul teringin, cuba masak setengah tin untuk dapat rasa.

  1. Tom Yam dan Sup.

Anda gemar makan di restoran Thai? Resepi-resepi makanan ini biasanya menggunakan sos sotong atau ikan sebagai penyedap. Sos ini sangat tinggi kandungan garam.

Disebabkan itu, satu mangkuk tom yam atau sup yang biasa didapati di kedai makan mempunyai sekitar 7 gram garam. Jika anda betul-betul ingin kawal pengambilan sodium anda, kurangkan pesan tom yam dan sup bila makan di luar.

  1. Mi Segera.

Mi segera seperti Maggi dan Samyang juga tinggi sodium – satu paket mi segera mengandungi 2.5 gram garam. Apatah lagi jika anda makan dua paket sekali hidang.

Disebabkan kandungan sodium yang tinggi, makanlah mi segera secara ala kadar atau sekali sekala.

  1. Roti John.

Roti john ialah makanan kegemaran ramai yang sering dijual di pasar malam dan bazar ramadan. Bahan-bahan yang digunakan dalam roti john ialah sos, mayones, rempah kari, telur, dan roti.

Disebabkan penggunaan sos yang banyak, sekeping roti john mempunyai 5 gram garam. Ini di antara makanan ringan yang paling tinggi kandungan garam di Malaysia.

Penutup.

Darah tinggi ialah penyakit yang dialami ramai rakyat Malaysia. Untuk mengurangkan risiko strok dan sakit jantung, penghidap darah tinggi harus mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga pemakanan.

Jika anda ingin turunkan tekanan darah, haruslah kurangkan makan garam seperti yang kami tunjukkan di atas. Dengan kawalan garam dalam makanan, pasti tekanan darah akan semakin rendah.

Sumber:

  1. http://www.moh.gov.my › mohPDF (SODIUM (GARAM) - Kementerian Kesihatan Malaysia)
  2. Malaysian Food Composition Database Program, ℅ Institute of Medical Research 1997-2015.

Newer Post


Leave a comment